Nabi selamanya maksum

Tazkirah
Oleh
TUAN GURU HJ. NIK ABD. AZIZ NIK MAT


 

Erti salah bagi seorang Nabi



MEMBINCANG mengenai ijtihad Nabi s.a.w. dalam isu tawanan perang Badar, kebetulan ijtihad Nabi tidak menepati seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT. Bagi sebahagian orang, memang merasa amat berat untuk mengatakan bahawa Nabi s.a.w. salah, Iaitu salah dalam ijtihadnya. Kerana apabila disebut salah ertinya dosa.
Istilah dosa, salah, menyeleweng dan seumpamanya adalah bercanggah dengan iktiqad yang sebenar, kerana antara perkara yang mesti diyakini oleh kaum muslimin, bahawa Nabi s.a.w. itu maksum (terkawal dari segala dosa). Justeru itu memang tidak selesa bagi sesiapa jua untuk mengatakan Nabi salah, khususnya mengenai salah ijtihad terhadap isu tawanan perang Badar.
Sebenarnya 'salah' yang difahami oleh kebanyakan orang ialah setiap kesalahan itu berdosa, setiap yang berdosa mesti dihukum. Tetapi salah bagi Nabi s.a.w. tidak begitu. Kerana Nabi s.a.w. berijtihad berdasarkan perbincangan dalam mesyuarat khas bersama para sahabat, atas agenda khusus mengenai tawanan perang Badar. Kebetulan ijtihad Nabi s.a.w. itu tidak menepati dengan apa yang Allah SWT tetapkan.
Semua perkara telah ditetapkan oleh Allah Azza wa Jalla sejak di zaman azali lagi. Setengah dari ketetapan itu sengaja Allah SWT menjadikannya sebagai suatu rahsia, tetapi sebenar kerahsiaan itu mempunyai hikmah di sebaliknya. Ia memberi ruang kepada kaum muslimin untuk menggunakan daya fikirannya, untuk berijtihad mencari penyelesaian, sebagaimana nabi s.a.w. berijtihad dalam menyelesaikan isu tawanan perang Badar itu.
Sepanjang zaman kaum muslimin akan berdepan dengan perkara-perkara baru yang tidak terdapat nas dalil. Kesempatan itu memberi ruang yang baik untuk kaum muslimin yang mempunyai syarat-syarat, iaitu mempunyai keupayaan untuk mengkaji al-Quran dan juga hadis Nabi s.a.w.. ijmak ulama serta sumber qias bagi mencari jalan keluar.
Ketika Nabi s.a.w. berijtihad dalam isu tawanan perang, baginda tidak tahu perkara yang sebenar di sisi Allah SWT. Justeru itu Nabi mengadakan mesyuarat dengan para sahabat dan mengambil keputusan.
Dalam mesyuarat tersebut terdapat dua pandangan yang bercanggahan, pendapat pertama dari Abu Bakar As-Shiddiq yang mencadangkan supaya para tawanan itu dikenakan bayaran tebus diri. Sementara Saidina Umar Al-Khattab pula berpendapat bahawa tawanan perang itu mesti dibunuh, kerana mereka adalah terdiri dari para pemuka Quraisy yang selama ini menjadi perancang usaha khianat terhadap Nabi dan agama Islam.
Dalam keadaan Nabi s.a.w. belum ada sebarang arahan Allah SWT menerusi wahyu-Nya, maka baginda membuat keputusan yang memihak dengan pendapat Abu Bakar. Sayangnya ijtihad Nabi s.a.w. telah mendapat teguran langsung dari Allah SWT yang menegurnya; bahawa tidak layak bagi seorang Nabi mempunyai tawanan perang sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi ini. Dengan turunnya wahyu Allah Taala itu, jelaslah bahawa ijtihad Nabi s.a.w. tidak menepati dengan kehendak Allah SWT. Inilah yang daikatakan Nabi salah ijtihad. Jadi yang dimaksudan 'salah' kepada Nabi itu ialah keputusan yang diambil oleh Nabi melalui ijtihadnya, tidak menepati dengan ilmu Allah SWT. Ketidaktepatan ijtihad Nabi dengan keputusan Allah SWT, tidak menjejaskan kedudukan Nabi s.a.w.. Kerana Nabi sebelum membuat sesuatu keputusan, terlebih dahulu mengambil beberapa pandangan dari para sahabat dalam mesyuarat khas. Peristiwa salah ijtihad ini sebenarnya tidak becanggah dengan iktiqad bahawa Nabi adalah maksum (terkawal daripada dosa).
Meskipun ijtihad Nabi s.a.w. itu salah, ia tidak berdosa kepada Nabi. Kerana Nabi berijtihad dalam perkara yang belum ada wahyu Allah SWT bagi menetapkan hukumnya.
Justeru sampai bila-bilapun umat Islam yang berkelayakan dan mempunyai kemampuan dari segi ilmu, diberi hak untuk berijtihad dalam perkara yang tidak ada nash. Mereka berijtihad dengan kaedah-kaedah tertentu dengan bersusah payah dan bercermat merujuk kepada al-Quran dan juga hadith Nabi s.a.w. bagi mencapai suatu keputusan yang sesuai dan menepati dengan roh al-Quran dan sunnah.
Jika dalam keadaan demikianpun ijtihad mereka salah juga, maka di sisi Allah SWT ia tidak berdosa, kerana orang-orang yang berijtihad dengan kaedah-kaedah yang dizinkan oleh syarak, serta memenuhi syarat-syarat. mereka sebenarnya tidak tahu apa yang ada di sisi Allah SWT. Namun Allah SWT tetap menghargai kerja baik orang yang bersungguh-sungguh berijtihad bagi mengatasi masalah umat. Mereka diberi ganjaran satu pahala iaitu pahala ijtihad. Sementara mereka yang ijtihadnya menepati dengan kehendak Allah SWT, dikurniakan dua pahala iaitu pahala ijtihad dan pahala betul.
Walaupun Nabi maksum, namun baginda sentiasa beristighfar kepada Allah SWT. Nabi beristighfar setiap hari sebanyak tujuh puluh kali atau lebih. Mengapa Nabi s.a.w. beristighfar begitu banyak kepada Allah SWT, padahal Nabi adalah maksum, iaitu terhindar dari segala dosa?
Sesungguhnya umat muslimin dikehendaki supaya meneladani secara bersungguh-sungguh segala jejak Nabi, mereka dikehendaki meningkatkan tahap keilmuan dan ketaqwaan serta tahaf ibadat mereka, dari masa ke masa.
Jika orang awam dikehendaki meningkat amal mereka, maka lebih-lebih lagi bagi seorang Nabi. Semestinya Nabi s.a.w. merasa dirinya bersalah jika tiada peningkatan pada dirinya dari masa ke masa. Walaupun nabi dalam keadaan maksum, namun baginda merasa diri bersalah kepada Allah SWT, jika taraf ketaqwaannya atau ibadatnya tidak ditingkatkan dari masa ke masa. Jika tingkat ketaqwaannya hari semalam berbanding dengan hari ini masih sama, maka Nabi s.a.w. merasa dirinya bersalah kepada Allah SWT.
Sebagai insan yang bertaraf Nabi dan Rasul Allah, mestilah sudah semestinya ketaqwaannya sentiasa dipertingkatkan dalam segala hal. Namun demikian Nabi s.a.w. sentiasa beristighfar kepada Allah SWT dengan banyaknya sebagai tanda pengabdiannya kepada Allah SWT sebagai seorang hamba yang sentiasa bersyukur.
 
Sumber: Harakah

Comments

Popular Posts