Segmen Muhasabah Diri~

ASSALAMUALAIKUM....
SAMA-SAMA KITA MUHASABAH DIRI....

Beberapa Petanda Susahnya Amalan Batin
1.  Ketika kita sembahyang, lahirnya kita berdiri, rukuk dan sujud
dengan mulut terkumat-kamit memuji dan berdoa kpd Allah, tetapi
sebenarnya di manakah hati kita (ingatan dan fikiran)? Adakah ia
juga mengadap Allah, khusyuk dan tawadhuk serta merasa rendah dan hina
diri dengan penuh pengabdian dan harapan serta malu dan takut kepada
Allah swt? Atau adakah hati kita terbang menerawang ke merata-rata tempat dengan membelakangkan Allah Yang Maha Agung yangg sedang disembah? Begitu juga ketika kita membaca Al-Quran, berselawat, berzikir, dan sebagainya lagi... adakah roh kita turut menghayatinya?

2.  Pernahkah kita merasa indah bila bersendirian di tempat sunyi
kerana mengingati Allah dan menumpukan sepenuh perhatian kepadaNya, merasa rendah dan hina diri, menyesali dosa dan kelalaian, mengingatiNya sambil berazam untuk memperbanyakkan amal bakti kepadaNya?

3.  Kalau ada orang Islam yang ditimpa bencana dan berada dalam
penderitaan, adakah hati kita merasa belas kasihan untuk membantu
atau mendoakan dari jauh agar mereka mendapat pertolongan dari Allah?

4.  Pernahkah kita menghitung dosa kita, lahir dan batin? Bila
teringatkan dosa-dosa kita, adakah mudah untuk kita menangis
menyesali diri sambil memohon keampunan Allah dan bertaubat kepadaNya?

5.  Adakah kita sentiasa mengingati pada mati yang akan datang
beberapa saat saja lagi? Sebab Tuhan memang boleh buat begitu. Jadi ketika umur masih ada ini, adakah kita berusaha mencari jalan untuk mendekatkan diri kita kepadaNya?

6.  Pernahkah kita hitung berapa banyak harta kita, duit kita,
rumah kita, kereta kita, motosikal kita, perabot kita, pinggan mangkuk
kita, periuk belanga kita, kain baju kita, kasut kita, makanan kita, dan lain-lain kepunyaan kita yang melebihi dari keperluan kita sendiri
(yang halal)? Kerana yang mana berlebihan itu akan dibicara, dihisab,
ditanya, dicerca, dan dihina oleh Allah di padang Mahsyar nanti kerana
membesarkan dunia dan memperkecilkan akhirat?

7.  Pernahkah kita kenangkan orang-orang yang pernah kita kasari,
umpat, tipu, fitnah, hina, kutuk, dan aniaya sama ada suami, isteri, ibu bapa, saudara mara, sahabat handai, jiran dan sesiapa saja, supaya kita meminta maaf dan membersihkan dosa dengan manusia di dunia ini lagi tanpa menunggu hari yg dahsyat? Senangkah kita untuk memaafkan
kesilapan orang lain dan adakah kita mudah untuk terus meminta maaf bila bersalah?

8.  Apabila kita sakit kerana ditimpakan oleh Allah, dapatkah kita
tenangkan hati kita dengan rasa kesabaran dan kesedaran bahawa
sakit adalah kifarah dosa (pengampunan dosa) atau sebagai darjat dan
pangkat di sisi Allah swt?

9.  Ketika menerima takdir yang kita rasakan tidak sesuai dengan
kehendak kita, dapatkah kita rasa redha bahawa ia adalah satu
pemberian daripada Allah yang patut untuk kita?

10.  Di waktu mendapat nikmat, terasakah di hati bahawa ia adalah
pemberian daripada Allah, lalu timbul rasa terima kasih kepada
Allah dan rasa takut kalau-kalau ia tidak dapat digunakan di jalan Allah dan berazam untuk menggunakan nikmat itu demi Allah jua?

11.  Kalau ada orang yang mengata atau mencerca kita di belakang
kita, dapatkah hati kita merasa tenang lalu kita diamkan sahaja (tanpa
rasa sakit dan susah hati serta dendam) bahkan kita memaafkan orang itu
sambil mendoakan kebaikan untuknya sebab merasakan ia telah memberikan
pahala kepada kita melalui cercaannya itu?

12.  Begitu juga kalau orang menipu, menganiaya dan mencuri harta
kita, mampukah kita relakan saja atas dasar kita mendapat pahala
menanggung kerugian itu?

13.  Kalau orang lain mendapat kesenangan dan kejayaan, dapatkah
kita merasa gembira dan turut bersyukur serta mengharapkan kekalnya
nikmat itu bersamanya tanpa ada rasa dengki dan sakit hati dengan kejayaan org itu?

14.  Sanggupkah kita bertolak ansur dengan orang lain di waktu
orang itu memerlukan sesuatu yang kita juga perlukan?

15.  Adakah kita merasa puas dan cukup dengan apa yang ada tanpa
mengharapkan apa yang tidak ada?

Susah agaknya untuk kita menjawab soalan-soalan di atas dengan
jawapan-jawapan yang sepatutnya kerana sememangnya susah seorang
buat insan biasa seperti kita untuk benar-benar menyempurnakan amalan
batin. Walau bagaimanapun kita seharusnya menyimpan niat di hati kita dan seterusnya bersungguh-sungguh bermujahadah untuk menyuburkan
amalan-amalan batin kita kerana amalan batin adalah lebih penting
dari amalan lahir.

Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud:
"Allah tidak memandang akan rupa dan harta kamu, tetapi Dia
memandang hati dan amalan kamu."
(Hadith Riwayat Muslim)

Firman Allah pula yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada kaum itu,
sehinggalah mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka (hati
mereka)."
(Surah Ar-Raad: ayat 11)

Marilah kita cuba tekunkan diri untuk membersihkan dosa lahir dan
batin kita. Mari kita bermujahadah untuk itu. Mudah-mudahan Allah
menolong dan meredhai kita.

Firman Allah yang bermaksud:
"Dan mereka yang bermujahadah kepada jalan Kami, nescaya Kami
tunjukkan jalan-jalan Kami itu. Sesungguhnya Allah berserta dengan
orang-orang yang berbuat baik."
(Surah Al-Ankabut: ayat 69)

SEKIAN WAHAI SAHABAT....RENUNGILAH..DAN HAYATI...
BERILMU DAN BERAMAL..JANGAN JADIKAN DIRI KITA UMPAMA POHON RENDANG YANG TIDAK BERBUAH...
WASSALAM....

Comments

Popular Posts